KUALA LUMPUR, 22 April – Peralihan kuasa, penubuhan kabinet baru dan perancangan berkaitan hala tuju yang akan menjadi landasan untuk mencapai Negara maju telah pun dibuat dengan kekuatan dan kejituan bagi terus memperkasa bangsa dan Negara.
Namun demikian, terfikirkah bahawa kekecohan yang berlaku kebelakangan ini sama ada dalam arus politik dan sosiobudaya masyarakat adalah ekoran daripada idealogi songsang sesetengah pihak yang sanggup memperalatkan rakyat?
Dangkalnya pemikiran dan ceteknya akal apabila kewarasan dikesampingkan hinggakan sanggup mempertaruhkan masa depan bangsa Malaysia kepada satu jalan yang jauh ketinggalan dan terkeluar dari bicara ketamadunan hanya kerana terdapatnya segelintir individu yang kecewa, tidak berpuas hati serta enggan menerima takdir yang tertulis.
Nilailah semula, dimana asas perjuangan dan hala tuju yang menjadi akar tunjang untuk menentukan ketrampilan diri dengan menterjemahkannya terhadap pandangan dan idealogi yang didukung dalam mana-mana tampuk kepimpinan.
Ini kerana, Barisan Nasional (BN) yang mengemudi Kerajaan sebagai parti yang benar-benar berjuang untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara tidak pernah menolak apatah lagi membuang mana-mana ahlinya yang gagal mendapat tempat dalam aspek kepimpinan kecualilah mereka sendiri yang bertindak ‘melanyak’ parti.
Sememangnya diakui oleh para pemimpin dalam BN bahawa keputusan dalam pilihan raya ke-12 lalu memberi kesan yang bukan sedikit malahan pelbagai pihak mula menggesa agar perubahan dibuat supaya landskap politik negara dapat dilihat dalam skop yang lebih penting.
Menyusur kembali, kerjasama pelbagai kaum di bawah naungan BN, terbukti amat berkesan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat sehingga gabungan parti ini menjadi satu kekuatan baru bagi permerintahan demokrasi sejak pilihan raya pertama 1955.
Di samping itu juga, kebergantungan antara satu sama lain sebagai pelengkap amat terserlah malah ikatan yang erat ini menampilkan kemesraan hinggakan jika cubit paha kanan paha kiri akan turut terasa juga. Begitulah ibaratnya parti-parti kompenan dalam BN.
Namun demikian, atas kemuafakatan bersama, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; ke bukit sama di daki dan ke lurah sama dituruni maka segala susah payah dan caci keji yang dilemparkan oleh pihak pembangkang juga adalah amanah bersama.
Memang benar BN parti yang memerintah, mentadbir negara atas amanah dan tanggungjawab yang diberikan namun demikian, kelibat segelintir pihak yang memberikan sokongan atas harapan sambil menyelam minum air telah memberi kesan yang bukan sedikit kepada masyarakat keseluruhan.
Ibaratnya, nila setitik maka rosak susu sebelanga, lantaran sikap sesetengah individu yang sememangnya pentingkan diri sendiri, inginkan keuntungan tanpa menghiraukan susah payah yang dialami insan lain, lantaran pangkat dan kuasa mengaburi.
Kerana itulah juga wujudnya individu-individu yang bersifat ‘plastik’, menyertai atau memberi sokongan kerana inginkan imbuhan lantas apabila gagal mendapat tempat dengan sewenang-wenangnya pula parti dan pucuk pimpinan diacu pelbagai tuduhan.
Sesungguhnya, anggota sedemikianlah yang menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan, api dalam sekam dan merosakkan agenda perjuangan bangsa yang sememangnya telah direncana dengan molek untuk direalisasikan.
Dalam konsep perjuangan, mengapa mesti membuat keputusan yang hanya akan memusnahkan bangsa dan negara sendiri sedangkan sebelum ini, mereka bersama-sama dalam parti, merancang, membangun dan mencapai pelbagai kecemerlangan tetapi hanya kerana kecewa ekoran gagal mendapat kuasa lantas mereka cuba pula memusnahkan apa yang telah dicapai.
Umumnya, individu sedemikian memang tidak layak menjadi pemimpin apatah lagi untuk menjadi ketua kepada rakyat dan terus sebagai wadah kepada generasi akan datang.
Kerana gagal mendapat kuasa, mereka berasa marah dan kecewa lantas bertindak meninggalkan parti dan perjuangannya sedangkan selama ini mereka sendiri sering menyatakan bahawa hanya BN yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan dan mampu membawa kemajuan.
Lebih teruk lagi, mereka sanggup pula memburuk-burukkan parti dengan pelbagai cerita, bermacam fitnah dan kecaman kepada pemimpin atasan hinggakan sanggup ada pula di kalangan rakyat yang terpedaya dengan apa yang dinyatakan.
Kesan secara tidak langsung juga, kelemahan BN ekoran kekecewaan yang lahir di kalangan sesetengah individu ini telah menyumbang kepada pihak pembangkang termasuklah PAS, PKR dan DAP. Apatah lagi apabila adanya ahli BN sendiri berpaling tadah lantas memberikan laluan mudah kepada pakatan campuran untuk beroleh kemenangan dalam pilihan raya.
Dalam hal yang lain pula, tidak dinafikan bahawa ada pihak yang tidak senang dengan kemuafakatan BN khususnya pembangkang yang merasa iri hati ekoran kepentingan peribadinya tidak dapat dipuaskan hinggakan sanggup melemparkan tohmahan dan hasutan sebagai provokasi bagi merosakkan kesinambungan pentadbiran BN.
Pihak pembangkang sentiasa ingin mengambil peluang lantas cuba merobek kesejahteraan yang selama lebih 50 tahun dinikmati.
Bukan mudah untuk menanganinya, apatah lagi dalam keadaan yang sulit apabila ada pihak yang menyimbah minyak ke atas bara yang ada, atas harapan ingin memarakkan semangat perkauman agar BN dapat dihancurkan.
Malahan, kesan daripada perpecahan tersebut dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan topeng kononnya atas nama demokrasi dan hak asasi hinggakan wujudnya demonstrasi jalanan yang menyumbang kepada kecelaruan.
Nilailah semula peristiwa yang telah berlaku dan selamilah natijah insiden berkaitan yang bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat setempat malah turut menjejaskan kedudukan ekonomi dan negara di peringkat antarabangsa.
Persolannya, mengapa jalan demonstrasi dipilih dan diambil sedangkan meja rundingan tidak pernah ditolak oleh mana-mana pihak termasuklah pucuk pimpinan sendiri sebagai jalan penyelesaian permasalahan yang timbul.
Namun begitu, tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang ternyata mengambil kesempatan atas isu-isu semasa sememangnya adalah sesuatu yang dangkal dan tidak memikirkan masa hadapan bangsa dan negaranya.
Dan lebih keji lagi, pihak tidak bertanggungjawab tersebut juga sanggup memperalatkan keselamatan rakyat, kesejahteraan negara dan keharmonian Ibu Kota. Mereka berselindung disebalik isu semasa yang dijadikan sebagai senjata bagi memporak-perandakan keadaan.
Sesungguhnya, jika benarlah mereka pejuang sejati yang mempertahankan bangsa dan negara, sudah pastinya mereka tidak akan sanggup negara dinodai dengan kekecohan dan huru-hara sedemikian dan tentulah juga masyarakat tidak dihidangkan dengan perbuatan memalukan begini.
Lantaran itu, mendukung aspek sebagai sebuah negara demokrasi, janganlah sesuka hati berdemonstrasi sebaliknya jadikanlah insiden keganasan di negara-negara jiran sebagai tauladan!