Kategori Hujah Ketua Penerangan

Dap Dapat Lesen Besar PKR, Berani Sentuh Sensitiviti Melayu

Oleh: AL KAMARUL ABD LATIF.

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan percaya Dap akan terus berani membuat apa jua perkara yang menyentuh sensitiviti orang Melayu kerana sudah mendapat lesen besar dari pemimpin PKR.

Jelasnya pemimpin Dap akan terus menguji satu demi satu hak yang menyentuh orang Melayu dan Bumiputera sebelum bertindak lebih jauh lagi apabila berkuasa kelak.

“Dalam perkara ini kita boleh bagi pujian kepada Pas yang mula berani bersuara. Ini menunjukkan hakikat Pas sebenarnya tidak selesa dengan Dap.

“Dap tetap Dap kerana tindakan-tindakan mereka membuktikan parti itu sememangnya parti cauvinis yang bersifat perkauman”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Dap yang meminta supaya pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah dimansuhkan di Selangor.

Malah dalam isu yang sama Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut mengingatkan Dap supaya tidak menekankan soal hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum tersebut.

Berkenaan ingatan Perdana Menteri itu, Datuk Ahmad seterusnya berkata, Dap tidak seharusnya mengambil ringan peringatan tersebut.

“Bak kata orang, jangan menjolok sarang tebuan, buruk akibatnya kerana ini akan mengundang perbalahan yang cukup berbahaya”, ujarnya. -MediaUMNO