Kategori Berita Pilihan

Mengakarumbikan Satu Malaysia

Harapan satu Malaysia telah dilakarkan dengan gambaran indah yang memungkinkan pengakhiran sempurna sekiranya ia mampu disempurnakan dengan lancar tanpa sebarang kecacatan.

Namun demikian, sememangnya bercakap tidak semudah untuk melakukannya apatah lagi telah pasti bahawa halangan yang mendatang tentunya amat mencabar.

Para pemimpin tertinggi telah menggariskan apa yang perlu dilaksanakan bagi mencapai negara maju dan masyarakat cemerlang seperti yang termaktub dalam Wawasan 2020 dan juga Misi Nasional sebagai matlamat utama.

Sesungguhnya apa yang digariskan oleh pemimpin baru negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu, apatah lagi kepimpinan beliau banyak dilihat sebagai garapan dari ayahandanya yang juga mantan Perdana Menteri ke-2 iaitu Tun Razak Hussein sebagai bapa pembangunan.

Namun demikian, persoalannya adalah bagaimana untuk menyalurkan dasar dan hasrat murni kerajaan kepada masyarakat terutamanya di peringkat akar umbi?

Apatah lagi, golongan inilah yang sesungguhnya menjadi penentu yang akan mendukung dan memacu setiap hasrat kerajaan sejajar dengan matlamat utama untuk masyarakat dan negara.

Perlu difahami bahawa dalam mencapai apa yang telah digariskan, kerajaan tidak pernah mengetepikan atau meminggirkan apatah lagi untuk menidakkan hak rakyat sama ada untuk memiliki, memilih atau menyuarakan hasrat yang tersirat.

Lantaran itulah, Perdana Menteri bersama-sama barisan kepimpinan yang baru merungkai persoalan yang membelenggu minda segelintir masyarakat khususnya yang berpandangan negatif atas apa yang kerajaan lakukan.

Dalam hal ini, kerajaan yang ditunjangi BN sentiasa mengambil jalan positif untuk memberi penerangan kepada masyarakat bahawa setiap kata-kata yang diucapkan bukanlah sekadar janji-janji kosong semata-mata sebaliknya ia adalah amanah yang menjadi satu tanggungjawab untuk ditunaikan.

Sejajar dengan itu, fikirkanlah bagaimana kesungguhan yang dilakukan oleh kerajaan, bukan setakat hari ini atau sehari dua sahaja sebaliknya nilailah bagaimana kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab sejak BN menerajui kerajaan lebih 50 tahun yang lalu.

Bukalah minda dengan kewarasan akal fikiran untuk menilai bahawa jika sekiranya setiap kata-kata yang diucapkan hanya sekadar pemanis mulut sahaja sudah pastilah kesejahteraan tidak ada, keamanan akan musnah dan lebih teruk lagi, keseimbangan yang diusahakan tidak akan tercapai.

Paling mudah, lihat sahaja prasarana dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan – dari kemudahan pendidikan, keselesaan tempat tinggal, jaminan bersosial dan bermasyarakat dalam ruang lingkup yang terbuka walaupun dilingkari golongan berbilang-bilang bangsa, pelbagai budaya dan agama berbeza.

Lantaran itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk bersama-sama mendukung hasrat tersebut.