Terimalah Hakikat…
May 23rd, 2009 | By administrator | Category: Utama
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Keputusan siapa Menteri Besar Perak yang sah telah pun diketahui dan penghakiman dengan berlandaskan hujah-hujah yang kukuh dijadikan sandaran dan perlu difahami oleh seluruh rakyat, bukan sahaja kalangan pemimpin terlibat tetapi juga keseluruhan masyarakat agar polemik krisis Perak dapat ditamatkan.
Tentunya, apa yang lebih penting di sebalik keputusan Mahkamah Rayuan semalam adalah hala tuju kepimpinan dalam fokus kepada kebajikan dan kesejahteraan keseluruhan rakyat Negeri Perak.
Selain keputusan terhadap siapa Menteri Besar, mahkamah juga menolak permohonan Nizar untuk mengenepikan perintah penangguhan yang diputuskan sebelumnya.
Lantaran itu, pakatan campuran wajar menghormati keputusan tersebut tanpa memanipulasi atau menimbulkan provokasi yang hanya akan membawa padah dan rakyat menjadi mangsa.
Kematangan berpolitik perlu dijadikan landasan dan keputusan yang dibuat juga perlu diterima dengan tenang tanpa sebarang propaganda atau demonstrasi sebagaimana yang seringkali terjadi apabila keputusan tidak berpihak kepada pakatan campuran.
Dalam hal ini juga, pembangkang tidak perlulah cuba bertindak sebagai hakim kepada rakyat pula dengan berkempen atau menabur cerita sambil mempertikaikan keputusan mahkamah sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.
Lantaran itu, bukankah lebih baik jika rakyat menumpukan kepada masalah setempat dan masalah ekonomi dalam negara yang jelas lebih penting daripada melayan permainan politik pakatan pembangkang.
Lihatlah sahaja sebelum ini, jika benar pakatan campuran mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, tentunya perilaku sumbang dan perbuatan yang sememangnya di luar dari kewarasan akal tidak akan berlaku.
Berkaitan dengan keputusan mahkamah semalam juga, tentunya tidak akan ada lagi individu atau pihak yang akan mempertikaikan keputusan Raja kerana telah terbukti tindakan yang dibuat oleh Sultan Perak adalah selari dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.
Berkaitan dengan permintaan pakatan campuran yang berkeras mahukan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, jelas menunjukkan bahawa ia tidak wajar dibuat kerana mahkamah sendiri telah menetapkan BN sebagai kerajaan yang sah di Perak.
Oleh itu, terimalah kenyataan agar pentadbiran yang licin dan terancang dapat dilaksanakan demi untuk kesejahteraan masyarakat termasuklah ahli-ahli dalam pakatan campuran sendiri!








