KUALA LUMPUR, 14 Okt. – Mesyuarat Tertinggi Khas yang di pengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak membincangkan kaedah yang akan digunapakai untuk meminda perlembagaan dalam persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2009 yang akan dirasmikan esok.
Datuk Seri Najib yang juga Perdana Menteri berharap agar kaedah yang akan dilakukan dalam agenda meminda perlembagaan parti tersebut diterima oleh semua pihak.
“Kaedah bagaimana untuk memindanya akan dilakukan dalam peringkat jawatankuasa dan berharap agar ia dapat diselesaikan dalam masa yang ditetapkan,” katanya.
Usul pindaan Perlembagaan UMNO tersebut akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas yang akan bersidang esok iaitu selepas Perhimpunan Agung UMNO 2009 dibuat.
“Saya berharap agar pindaan tersebut diterima kerana pindaan tersebut telah dikaji dengan mendalam, dibincang dalam peringkat cawangan, bahagian dan negeri serta mendapat maklum balas dari semua pihak untuk menghasilkan pakej yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Beliau juga memaklumkan bahawa antara pindaan yang dilakukan ialah meletakkan kelayakan minima untuk ahlinya bertanding dalam jawatan iaitu sekurang-kurangnya telah tiga tahun menjadi ahli UMNO.
Dalam mesyuarat ini juga, Perdana Menteri turut menerima laporan daripada wakil ahli MT berkaitan persidangan Perhimpunan Agung UMNO pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selesai persidangannya hari ini.
“Persidangan sayap UMNO berjalan dengan positif dan tema lebih tertumpu kepada merapatkan barisan, perpaduan dan gerak kerja untuk kukuhkan parti di samping usul pindaan perlembagaan dan dasar-dasarnya,” katanya lagi.