Rasional Dan Terbuka
Nov 20th, 2009 | By administrator | Category: Utama
KUALA LUMPUR, 20 Nov. – Kepimpinan tertinggi dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan rasional dalam menghadapi situasi politik semasa apatah lagi apabila berdepan dengan kerenah pakatan pembangkang yang lebih cenderung menimbulkan tuduhan.
Dalam rasional dan keterbukaan tersebut, para pemimpin tertinggi bersama dengan ahli-ahlinya bukan hanya sanggup untuk menerima teguran dan kritikan tetapi juga menerima hakikat sekiranya sesuatu keputusan tidak berpihak kepada UMNO/BN.
Ini sebagaimana yang dapat dilihat apabila Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah kosong dengan Datuk Abu Hassan Sarif bukan lagi wakil rakyat kawasan tersebut.
Apa yang pasti prosedur tetap dipatuhi berlandaskan prinsip perundangan dan keadilan yang menjadi paksi dalam pentadbiran demokrasi negara lantas rayuan dikemukakan sebagai alternatif agar keputusan dapat dipertimbangkan semula.
UMNO/BN tidak pernah engkar dengan keputusan mahkamah dan menghormati setiap keputusannya kerana sedar bahawa kuasa mahkamah adalah sebagai kata pemutus yang pastinya dilakukan secara telus dan adil.
Sesungguhnya ini berbeza dengan pakatan campuran yang lebih cenderung mengambil jalan singkat dengan memuji perundangan yang ada sekiranya ia berpihak kepada mereka dan sekiranya ia bertentangan dengan kehendak yang mereka mahukan maka pastinya sebaliknya berlaku.
Bukan hanya hanya kritikan dibuat secara terbuka malahan ada di kalangan pemimpinnya yang sanggup menjadi dalang bagi mencetuskan huru-hara dengan melakukan provokasi agar demonstrasi dibuat sebagaimana yang pernah tercertus di Negeri Perak awal tahun ini.
Sesungguhnya UMNO/BN sentiasa mengambil pendekatan matang sejajar dengan suara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Rajak yang menyeru rakyat bersama-sama beliau dalam meneruskan agenda bangsa dan negara dengan pragmatik dan rasional.
Justeru, sebagai merialisasikan hasrat tersebut, sikap positif yang diambil bukan hanya sanggup bertolak ansur tetapi juga menghulurkan tangan atas nama perpaduan bagi kepentingan keseluruhan rakyat.
Perlu difahami, apa sekalipun yang dilakukan oleh pakatan pembangkang, sekalipun mereka saranan Perdana Menteri seperti mana yang dibuatnya sebelum ini, UMNO/BN tetap teguh dan meneruskan segala perancangan untuk pembangunan dan kesinambungan kesejahteraan rakyat.
Apatah lagi, matlamat kerajaan bukanlah satu permainan politik yang boleh dijadikan sebagai alasan untuk menimbulkan isu kerana ia adalah amanah rakyat dan impian bersama dalam memajukan negara untuk kecermelangan masa hadapan.








