Masih Berselindung, UMNO Dituduh Lagi!

Nov 23rd, 2009 | By administrator | Category: Utama

husam1KUALA LUMPUR, 23 Nov. – Pakatan campuran yang dianggotai oleh sekutu PAS, DAP dan PKR masih terus-terusan berselindung dengan menafikan berlakunya sebarang pergolakan sebagaimana yang hangat diperkatakan khususnya membabitkan kepimpinan PAS Kelantan.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang menyatakan bahawa Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan ekoran pendedahan daripada kepincangan yang berlaku dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Namun demikian, berita tersebut dinafikan dan menyatakan bahawa Husam hanya bercuti selama lima hari ekoran daripada kesihatan tulang belakangnya sedangkan Husam sendiri memaklumkan bahawa beliau tidak tahu menahu berkaitan cuti tersebut.

Persoalannya, mampukah jawapan tersebut menutup kebenaran yang sentiasa cuba diselindungkan sedangkan nyata manakan mungkin pohon bergoyang sekiranya tiada angin bertiup.

Sebagai langkah menyelamatkan diri dari terus dilanda persoalan tersebut, seperti biasa PAS Pusat akan mempalitkan kesalahan dan masalah yang ditanggungnya kepada pihak lain dan dalam hal ini, seperti biasa juga UMNO menjadi tuduhan.

Berhubung isu berkaitan, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar secara melulu berkata UMNO sengaja mencetuskan propaganda murahan bagi mempengaruhi orang ramai berkaitan dengan masalah dalaman mereka.

Malahan tuduhan tersebut dibuat kononnya UMNO berniat jahat mahu memecahbelahkan parti tersebut.

Dalam memahaminya, perlu diingat bahawa tuduhan tersebut bukanlah baru pertama kali dilakukan sebaliknya acapkali apabila pakatan pembangkang termasuklah PAS sendiri dilanda kemelut dan masalah maka yang menjadi tuduhan adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sedangkan realitinya, tidak perlu diwar-warkan oleh sesiapa waima UMNO/BN dan media tempatan, rakyat sendiri bijak menilai antara mana yang benar dan mana yang palsu, malahan cerita tentang ketidakserasian kepimpinan atasan khususnya antara Nik Aziz dan Husam bukan lagi satu rahsia.

Begitu juga dengan persoalan yang melanda Kerajaan Negeri Kelantan termasuklah kemelut dalaman PMBK yang terhambur menterjemahkan kesongsangan pihak atasannya; lantas siapa di sebaliknya – UMNO jugakah?

Leave Comment

You must be logged in to post a comment.