JELI, 10 Dis. – Semalam termetrai satu sejarah apabila perasmian Jambatan Persahabatan yang menghubungkan antara dua negara iaitu Bukit Bunga di sini dan Ban Buketa di selatan Thailand oleh dua Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak bersama rakan sejawatnya di Thailand Abhisit Vejjajiva.
Apa yang pasti, pembinaan jambatan yang menghubungkan sempadan dua negara ini membuktikan hubungan kukuh dengan aspirasi sama untuk menjalin persabahatan dan menjalankan kerjasama untuk kepentingan rakyat kedua-dua negara.
Selain itu, tentunya banyak iktibar dan penilaian yang boleh diambil daripada peristiwa tersebut apatah lagi apabilaNegeri Kelantan adalah terletak di bawah pentadbiran PAS, namun ternyata kerajaan Pusat tidak pernah menidakkan atau membelakangkannya khususnya apabila ia melibatkan kepentingan rakyat dan masyarakat antara dua negara.
Sememangnya pembinaan jambatan tersebut bukan hanya bukti kepada hubungan baik kedua-dua negara yang telah menghasilkan banyak projek usahasama tetapi ia juga adalah antara keprihatinan kerajaan dan pemimpin tertinggi terhadap kepentingan rakyat yang tinggal di sepanjang sempadan bersama.
Justeru kemurnian hati kerajaan antara dua negara yang sanggup menjalinkan hubungan persahabatan ini mencapai matlamat murninya dan menjadi ransangan kepada masyarakat setempat malah juga kepada rakyat negeri Kelantan bagi mengembangkan lagi aktiviti ekonomi, sosial dan budaya antara para penduduk tempatan dan negara jiran.
Sewajarnya ia menjadi satu tauladan kepada kerajaan Negeri Kelantan yang sebelum ini sering sahaja menafikan penglibatan kerajaan Pusat dan pentadbiran Barisan Nasional (BN) biarpun ternyata bahawa pelaksanaan dan jentera PAS sendiri gagal mengubah nasib Kelantan.
Lantaran itu, sewajarnya projek sedemikian menjadi cermin kepada para pemimpin pembangkang yang selama ini lantang mengkritik kerajaan pusat dengan pelbagai kata-kata negatif termasuk mewujudkan persepsi salah dan propaganda demi untuk agenda peribadi dan politik kepartian.
Nilailah sendiri, kewajaran kepimpinan Perdana Menteri atas konsep 1Malaysia demi kesinambungan kesejahteraan dan keamanan bersama dalam mengekalkan kesejahteraan dan meningkatkan kecemerlangan seiring dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’!