Kategori Sana Sini

Malam Penghargaan Media Massa UMNO 2009 Meriah

anigifKUALA LUMPUR, 12 Dis. – Buat julung kalinya Ibu Pejabat UMNO mengadakan Malam Penghargaan Media Massa UMNO sebagai tanda penghargaan khusus buat semua pihak media massa dan agensi-agensi yang telah pun bertungkus-lumus melaksanakan tanggungjawab dalam memberi kerjasama semasa persidangan Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Perhimpunan Agung UMNO 2009 telah pun berlangsung dengan jayanya selama empat hari bermula 13 hingga 16 Oktober lalu dengan pelbagai agenda yang telah diatur selaras dengan pelaksanaannya yang terancang dan berjalan lancar.

Selaras dengan itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh memaklumkan bahawa majlis sedemikian dibuat bukan sahaja sebagai tanda terima kasih kepada pihak media dan agensi terbabit tetapi ia juga adalah untuk merapatkan hubungan antara semua media massa, agensi-agensi yang berkaitan dan UMNO sendiri.

“Sememangnya hubungan yang erat antara UMNO dengan pihak media sentiasa dipelihara, dan majlis ini dibuat bukan sahaja untuk menghargai sokongan yang diberikan tetapi juga bertujuan mewujudkan hubungan silaturrahim atas semangat 1 Malaysia dengan semua pihak yang banyak membantu UMNO.

“Ia juga diharap akan dapat menerapkan konsep kekeluargaan di kalangan pemimpin atasan UMNO, kakitangan Ibu Pejabat dan semua kru yang terlibat sama ada dalam agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan serta media cetak dan elektronik,” katanya.

Malam media tersebut berlangsung meriah dengan pelbagai agenda termasuklah penyampaian sijil penghargaan kepada agensi kerajaan yang terlibat di samping hadiah kewartawanan untuk tiga kategori iaitu kategori foto terbaik, kategori video terbaik dan ketegori artikel terbaik yang menawarkan hadiah berjumlah RM18,000.

Selain itu, dalam majlis ini juga turut memperkenalkan Anugerah Khas UMNO kepada individu dalam media massa yang banyak menulis mengenai perkembangan politik tanah air dan UMNO dengan penerimanya ialah Joceline Tan (The Star) yang memperoleh sijil penghargaan dan wang tunai bernilai RM5,000.

Lebih istimewa lagi, tetamu yang hadir turut disajikan dengan persembahan daripada wakil-wakil media yang juga turut dipertandingkan selain daripada cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah istimewa.

Turut menerima sijil penghargaan atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan kepada UMNO bukan sahaja ketika berlangsungnya persidangan ialah agensi-agensi yang terlibat antaranya polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bomba dan penyelamat, paramedik, Kementerian Pertahanan Malaysia, RELA dan Kementerian Dalam Negeri.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ke-60 lalu, sebanyak 56 agensi media cetak dan elektronik, terdiri daripada 46 buah media tempatan dan 10 buah media antarabangsa, yang melibatkan sejumlah 1,030 orang wartawan membuat liputan.

Berikut adalah senarai pemenang bagi hadiah kewartawanan yang diadili oleh juri-juri profesional:

Kategori Foto Terbaik

1. Norafifi Ehsan ( The Star)
2. Izham Jaafar (Utusan Malaysia)
3. Osman Adnan (NSTP)

Kategori Video Terbaik
1. Buletin Utama (Laporan Khas) – TV3
2. Program Khas Berita Nasional – RTM
3. Program Awani 7.45 – Astro Awani

Ketegori Artikel Terbaik
1. Rozaman Ismail – Utusan Malaysia
2. Ahmad Zaini Kamaruzaman – Berita Harian
3. Mohd Khuzairi Ismail – Utusan Malaysia

Persembahan Agensi Media

1. Utusan Malaysia
2. BERNAMA
3. Berita Harian