Sejak kebelakangan ini ada pihak cuba menimbulkan konsep ketuanan Melayu dengan maksud mengelirukan lantaran mahu merosakkan persefahaman, kesejahteraan dan perpaduan di kalangan warga Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa, pelbagai anutan agama dan budaya berbeza.
Sesungguhnya pihak terbabit didorong rasa tidak puas hati atas agenda mereka selama ini yang terang-terangan ditolak khalayak ramai lantas cubaan secara psikologi cuba dilakukan dengan harapan ia dapat memesongkan fahaman masyarakat dan suasana kucar-kacir akan berlaku.
Apabila isu berkaitan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan juga hak keistimewaan orang Melayu dikemukakan dengan fahaman berbeza tanpa menilai semula bagaimana punca atau asalnya ia berlaku, maka tentunya negatiflah yang akan menjadi jawapan.
Apa yang pasti hal-hal tersebut bukanlah satu perkara baru yang cuba dimanipulasi oleh pakatan pembangkang khususnya DAP yang sememangnya lantang menyuarakan gagasan Malaysian Malaysia.
Bagi warga yang dangkal dan cetek pemikiran maka tentunya akan termakan dengan dakyah buruk pembangkang dalam cubaan memusnahkan kedaulatan negara dan cuba mengganggu gugat Perlembagaan yang selama ini terpelihara.
Perlu diperjelaskan semula bahawa konsep ketuanan Melayu yang digembar-gemburkan di sini tidak pernah menjadikan bangsa Melayu sebagai tuan dan bukan Melayu sebagai hambanya. Ketuanan Melayu hanyalah simbol yang membawa maksud kepada kedudukan Raja-raja Melayu sebagai tonggak negara; menjaga kepentingan agama Islam, memelihara istiadat Melayu dan bahasa Melayu sendiri.
Dengan kata lain, ketuanan Melayu yang digunapakai bersandarkan kepada Perlembagaan Negara.
Lantas nilailah kembali realiti hari ini, adakah konsep tersebut digunapakai sebagaimana konsepnya di atas kertas dan pengaplikasiannya atau bayangan pincang dari sesetengah individu yang cuba mengocak air tenang.
Jika diperhatian dari sudut ekonominya, suasana hari ini berbeza dengan apa yang diperkatakan berkaitan konsep ketuanan apatah lagi yang mendominasi bidang tersebut bukanlah bangsa Melayu sebagaimana kononnya ‘tuan’ seperti diuwar-uwarkan.
Majoriti yang menguasai perekonomian adalah kaum lain sedangkan rakyat miskin dan ketinggalan masih lagi dimonopoli oleh masyarakat Melayu sama ada di bandar atau di luar bandar sendiri.
Justeru, apakah konsep ketuanan Melayu digunapakai?
Sesungguhnya air tenang jangan disangka tiada buaya…. Nilai kesejahteraan dan perpaduan yang diperoleh sejak kemerdekaan ini bukanlah sesuatu yang ‘murah’ harganya apatah lagi apabila peristiwa 1969 tetap berparut di hati rakyat Malaysia.
Mungkinkah tindakan pemimpin DAP seperti Nga Kor Ming dan M.Kulasegaran adalah sesuatu yang sengaja dilakukan lantas mahu menjolok sarang tebuan.
Bukan hanya bangsa Melayu sahaja malahan kaum-kaum lain yang mencapai muafakat di negara ini akur dan faham konsep tersebut sebagai satu ikatan yang termetrai lantas menghargai kesediaan untuk satu kebersamaan bagi kelansungan dan kedaulatan negara.
Perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bukan mudah apatah lagi jika mahu mengekalkannya dengan pengisian yang adil dan saksama; berteraskan prinsip Rukun Negara yang digariskan.
Sememangnya telah terbukti. Sejak merdeka 1957 hinggalah kini, Barisan Nasional (BN) yang menjadi tunjang kerajaan membawa pembangunan dan seterusnya menjadi antara negara membangun yang termoden di peringkat antarabangsa tidak pernah bersikap rasis sebagaimana didakwa atau mengenepikan kepentingan kaum-kaum lain yang ada.
Tindakan yang mencabar Perlembagaan ini bukanlah kali pertama dilakukan oleh DAP malahan mereka sentiasa mencari peluang melalui keangkuhan, tidak senang dengan kemajuan negara meskipun mereka gagal menafikan bahawa mereka juga mendapat kesenangan daripada kemakmuran negara.
Dalam diam, pihak yang tidak bertanggungjawab ini cuba menjadi hero, sanggup menggadai maruah negara dan merosakkan keharmonian demi kepentingan politik dan idealogi parti yang telah lama ditolak oleh masyarakat.
Ini bukan sahaja diperlihatkan oleh pakatan pembangkang termasuklah segelintir bangsa Melayu sendiri yang menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam – mengkhianati jati diri bangsa Melayu dan sanggup menjadi sebagai kuda tunggangan!