Selamat Hari Natal
Dec 25th, 2009 | By administrator | Category: Utama
KUALA LUMPUR, 25 Dis. – Perayaan bagi sambutan Hari Natal atau krismas sememangnya bukan sahaja menjadi acara tahunan kepada penganut beragama kristian di negara ini sebaliknya ia juga menjadi agenda penting kepada masyarakat dalam merencana percutian hujung tahun.
Ini ditambah lagi dengan cuti perayaan tersebut yang bersambung dengan cuti hujung minggu yang secara tidak langsung akan memberi kesempatan kepada warga kota untuk meluangkan masa bersama keluarga atau menikmati percutian dengan kembali ke kampung halaman.
Dalam masa yang sama, seperti mana perayaan-perayaan lain, ia juga turut menerapkan budaya kunjung mengunjungi bukan hanya di kalangan sanak saudara dan jiran tetangga malah ia berkembang luas menjadi amalan bersama dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Lantaran itu, kesyukuran atas kesejahteraan dan perpaduan sewajarnya dihargai dan terus dipelihara kerana biarpun berbilang kaum dengan perbezaan agama dan budaya tetapi persefahaman terjalin dengan amalan hormat-menghormati antara satu sama lain adalah satu keistimewaan.
Menerusi konsep masyarakat Malaysia, keakraban dan kebersamaan untuk mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, persefahaman bersama dijadikan sandaran untuk menghadapi rintangan dan halangan.
Lantaran itu, atas semangat bersama, diucapkan selamat bercuti dan selamat menyambut Hari Natal!








