KUALA LUMPUR, 29 Dis. – Pergolakan dalaman yang melanda pakatan campuran khususnya Pas tidak dapat disembunyikan termasuklah gesaan secara terbuka ahli-ahlinya yang mahukan Pas keluar dari pakatan.
Dalam menangani desakan tersebut, lain pula lagaknya tindakan yang dilakukan oleh para pemimpin atasan dalam Pas apabila secara terang-terangan menolak suara mereka lantas menidakkan hak kumpulan yang bergelar Gerakan Penyokong dan Pengundi Pas Negeri Selangor (GKPPNS).
Sudahlah begitu, nama UMNO juga turut disebut-sebut dalam insiden yang memalukan Pas Selangor ini kerana kononnya menjadi dalang dalam mengadakan perhimpunan mendesak parti itu keluar dari pakatan campuran di hadapan Pejabat Perhubungan Pas Selangor, Ahad lalu.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib secara terbuka membuat tuduhan bahawa perhimpunan tersebut adalah perancangan UMNO atas usaha mahu merampas semula pentadbiran di Selangor.
Dalam hal ini, kewajaran atas apa yang berlaku sepanjang pentadbiran pakatan campuran di Selangor patut dijadikan sandaran daripada membuat tuduhan kepada pihak lain hasil daripada kepincangan yang berlaku dalam rumahtangga sendiri.
Sebelum ini memang telah acapkali kedengaran cakap-cakap yang negatif mengenai pentadbiran yang diterajui Khalid Ibrahim apatah lagi telah terserlah ketidaksefahaman beliau dengan barisan Exco dan beberapa wakil rakyatnya.
Sememangnya pergolakan dan ketidakserasian di kalangan para pemimpin Kerajaan Negeri Selangor telah pun diketahui umum. Ini ditambah lagi dengan pelbagai insiden membabitkan masyarakat tempatan yang gagal ditangani dengan telus oleh pihak terbabit hinggakan menimbulkan rasa tidak puas hati bukan hanya kepada kelompok tersebut tetapi juga para penyokong dalam pakatan campuran.
Lihat sahaja bagaimana teguran daripada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali yang akhirnya menjadi polemik berpanjangan ekoran ketidakseragaman dan tiadanya persefahaman dalam kepimpinan di negeri terbabit.
Lantaran sikap terbuka dan niat ikhlas untuk cuba membetulkan kesilapan, maka ia dipesongkan menjadi seakan satu kesalahan besar oleh seorang pemimpin negeri lantas ramai pula yang bersikap seakan ayam sabung, berkokok menggesa agar Hassan Ali disingkirkan dari kerajaan pakatan campuran.
Begitu juga apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah tampil membuat keputusan berkaitan pendiriannya terhadap parti yang didukung.
Dalam memahaminya, perlu diingat bahawa tuduhan tersebut bukanlah baru pertama kali dilakukan sebaliknya acapkali apabila pakatan pembangkang termasuklah PAS sendiri dilanda kemelut dan masalah maka yang menjadi tuduhan adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN).