KUALA SELANGOR, 19 Jan. – Seluruh pimpinan dan ahli-ahli UMNO disaran menjayakan transformasi parti dan bangkit dengan semangat penuh keyakinan agar UMNO terus kekal sebagai parti yang disayangi rakyat khususnya di kalangan orang-orang Melayu.
Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Abd Rauf Yusof berkata, sebagai parti yang telah lama berjasa dan berkhidmat untuk agama, bangsa dan tanahair, kejayaan itu perlu dipertahankan agar ia terus kekal.
Sehubungan itu beliau menasihatkan pimpinan UMNO di semua peringkat mengetepikan segala perasaan hasad dengki sesama sendiri untuk bekerja dalam satu saf dengan matlamat dan tujuan yang sama iaitu memenangi hati rakyat.
“Sifat alpa serta perasaan hasad dengki tidak akan membawa kita ke mana-mana sebaliknya hanya akan meruntuhkan institusi dan menghalang usaha memperkukuhkan perpaduan parti.
”Adakah kita mahu lihat dalam masa 10 atau 20 tahun akan datang UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan tinggal sejarah sebagai parti yang telah lama memerintah negara ini. Inilah yang perlu kita fikirkan bersama.
”Hapuskan perasaan dengki sesama kita agar kita dapat bangkit dengan megah dalam merampas kembali negeri ini yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu”, katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada taklimat pindaan perlembagaan kepada pimpinan UMNO Kuala Selangor, di sini, semalam.
Turut hadir, Penasihat undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun serta pimpinan UMNO empat peringkat bahagian Kuala Selangor.
Abd Rauf, menjelaskan pindaan perlembagaan parti membuka ruang yang lebih luas kepada demokrasi dalam UMNO untuk memastikan parti tersebut terus relevan dan mudah didekati oleh seluruh lapisan masyarakat.
”Tuan-tuan serta puan-puan yang ada di hadapan saya ini merupakan pahlawan di akar umbi untuk menjayakan transformasi parti demi memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya umum nanti.
”Apa yang dirancang serta dilaksanakan oleh pucuk pimpinan adalah untuk kepentingan parti.
”Marilah kita sama-sama bertekad untuk membantu pucuk pimpinan kita menjayakan transformasi berkenaan bagi memastikan UMNO dan BN mendapat keputusan cemerlang pada pilihan raya umum akan datang”, katanya.