Rakyat Lega, Kemelut Berakhir, Pembangunan Diteruskan
Feb 10th, 2010 | By administrator | Category: Utama
KUALA LUMPUR, 9 Feb – Kelegaan buat rakyat, khususnya di Perak. Keputusan Mahkamah Persekutuan, hari ini menjadi noktah kepada politik negeri dan bolehlah semua pihak menumpukan kepada pembangunan.
Perasaan rimas, meluat dan muak pelbagai pihak terhadap kemelut politik itu berakhir dan muktamad di Istana Kehakiman, Putrajaya. Walau pun ulasan pemimpin pakatan pembangkang berbunyi kurang menyenangkan, tidak berpuas hati dan bagaikan merancang sesuatu, banyak pihak menarik nafas lega dan mahu keluhuran Sistem Kehakiman sentiasa menjadi sandaran kepada pertikaian yang sukar terurai.
Keputusan sebulat suara lima panel membolehkan Mahkamah Persekutuan, hari ini mengisytiharkan kesahihan Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggantikan Datuk Seri Molhammad Nizar Jamaluddin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyambut keputusan Sistem Kehakiman itu dengan penuh kesyukuran. Beliau berharap rakyat Perak akan menumpukan kepada usaha pembangunan negeri itu dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan politik yang dianggap tidak menghormati keputusan mahkamah.
Perdana Menteri berkata sudah sampai masanya, semua pihak memberi tumpuan dan peluang kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menunjukkan kemampuannya bagi membela rakyat dan membangunkan negeri itu.
“Alhamdulillah, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi sekali dalam sistem kehakiman kita, bererti isu dan saga siapa yang patut menjadi Menteri Besar dan bentuk kerajaan di Perak sudahpun muktamad.
“Saya berharap keputusan ini bererti isu ini sudah pun selesai sepenuhnya dan tidak wajar dan tidak patut sesiapa pun membangkitkan apa-apa lagi pertikaian berhubung dengan kesahihan kerajaan Perak,” katanya.
Beliau berkata, pihak yang kalah dalam penghakiman itu mungkin berbeza pandangan. Namun, tegasnya, di dalam sistem mahkamah negara, semua pihak perlu akur dengan keputusan mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan yang memutuskan kedudukan Dr Zambry.
“Inilah hakikat yang perlu diterima. (Jadi) sudah sampai masanya kita memberi tumpuan kepada kepimpinan Dr Zambry untuk menunjukkan kemampuan membela rakyat Perak dan membangunkan negeri.
“Terserlahlah bila sampai masanya, yakni bila pillihan raya umum, rakyat boleh buat keputusan yang sebenarnya.
“Ini bukan masa untuk kita berarak ke sana sini atau mengadakan perhimpunan di luar, bawah pokok atau di mana sahaja.”
Datuk Seri Najib berkata, pilihan raya umum adalah masa yang amat sesuai sekiranya rakyat ingin membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan kepimpinan negeri.
“Pilihan rayalah masa yang sewajarnya, (cuma) sekarang ini kita perlu beri tumpuan kepada usaha memberi khidmat bakti terbaik kepada rakyat negeri Perak,” jelas Perdana Menteri








