‘Nik Aziz Perlekeh Peranan Ulama’
Mar 11th, 2010 | By administrator | Category: Berita Pilihan
KUALA LUMPUR, 10 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mendakwa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, ejen UMNO, sebagai tidak menghormati dan memperlekehkan tanggungjawab seorang ulama.
Timbalan Presiden UMNO berkata, beliau tidak faham bagaimana tanggungjawab seorang ulama dalam menyatupadukan umat Islam boleh dipolitikkan oleh Nik Aziz.
“Kenyataan dikeluarkan Nik Aziz seolah-olah dia tidak memahami peranan seorang mufti dan memperkecilkan ulama seperti Harussani.
“Beliau (Nik Aziz) bukan saja tidak hormat pada mufti tetapi fikir dia lebih pandai daripada orang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Ke-49 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Nik Aziz yang dikeluarkan dalam talian pembangkang yang menyifatkan Harussani lebih layak digelar ejen Umno bukannya mufti kerana peranannya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 merendahkan martabatnya sebagai mufti, malah tidak layak memakai gelaran itu.
Bagaimanapun, Harussani dalam penjelasannya kepada Berita Harian menegaskan tugas seorang mufti bukan sekadar isu air mutlak dan haid, tetapi merangkumi tugas yang lebih luas termasuk menyatukan umat Islam bagi mengembalikan semula kekuatan Melayu Islam. -MediaUMNO/BHarian








