Kategori Berita Pilihan

Format Baru Pemilihan UMNO Berkesan

Kota Tinggi, 14 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pemuda UMNO Kota Tinggi, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata pihaknya berpuas hati perjalanan pemilihan Pemuda UMNO itu hari ini yang menggunakan format baru.

Menurut beliau, walau pun secara keseluruhannya format tersebut tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya, namun pemilihan tersebut memberi peluang untuk memperbetulkan mana-mana aspek yang masih longgar.

“Apa yang kita nampak, format baru ini cepat dan berkesan. Walau pun pada dasarnya masih ada kekurangan tertentu, tetapi saya amat berpuas hati.

“Hari ini yang bertanding hanyalah untuk jawatan Ketua Pemuda bahagian sahaja setelah untuk jawatan lain dimenangi tanpa bertanding.

“Ini merupkan satu daripada faktor yang menyebabkan kita tidak dapat menggunakan sepenuhnya format baru itu,” katanya. Beliau berkata demikian kepada sidang media sejurus selesai Mesyuarat Khas Pemuda UMNO Kota Tinggi, di sini, hari ini.

Pada pemilihan tersebut, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Kota Tinggi, Mesran Selamat dipilih sebagai Ketua Pemuda bahagian berkenaan dalam pertandingan dua penjuru dengan menewaskan Kasim Selamat dengan majoriti 40 undi.

Ab Rauf yang juga Setiausaha Kerja UMNO Malaysia seterusnya berkata, wakil-wakil sayap turut dijemput untuk melihat secara lebih dekat pemilihan yang mengunakanformat baru tersebut.

“Sehubungan itu, saya amat berharap mana-mana pihak yang melihat beberapa ruang yang boleh diperbaiki supaya memberikan cadangan kepada saya kerana mesyuarat khas Pemuda UMNO Kota Tinggi hari ini merupakan bahagian yang pertama menggunakan format baru,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Kota Tinggi, Mesran Selamat, berkata kemenangan beliau bukanlah untuk dirinya, sebaliknya untuk parti dalam usaha memastikan sokongan rakyat bertambah.

“Ini adalah masa untuk bekerja dan berkhidmat kerana apa yang berada di hadapan kita adalah satu tanggungjawab yang besar.

“Kepada seluruh barisan kepimpinan yang telah dipilih untuk sama-sama menerajui Pemuda UMNO Kota Tinggi, marilah kita melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ikhlas supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus cemerlang di bumi bertuah ini,” katanya.

Seramai 83 daripada 105 perwakilan mendaftarkan diri dan sebanyak 83 kertas undi dikeluarkan. Setelah tamat masa pengundian, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan memaklumkan hanya 82 yang mengundi, dan 2 undi rosak. -MediaUMNO