Kategori Sana Sini

PM Syor Rakan Facebook Galak Keluarga Sertainya

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengesyorkan rakan-rakan Facebook beliau menggalakkan rakan dan keluarga sertai interaksi di laman sosial maya Presiden UMNO itu.

Perdana Menteri di dalam tulisan terbarunya bertajuk “Sabtu yang Bermakna” di 1Malaysia.com.my mencatatkan kegembiraannya bertemu rakan-rakan Facebook, Sabtu lalu.

Beliau catatkan suara hatinya yang amat gembira kerana banyak kenangan manis walau hanya dapat bertemu sebahagian kecil daripada 129,803 rakan Facebooknya (www.facebook.com/najibrazak).

Bagi Perdana Menteri, banyak kisah pertama yang terlakar pada majlis itu dan beliau mahu lebih banyak pertemuan seumpamanya dapat dianjurkan.

“Sementara itu, saya harap anda semua dapat berkongsi pengalaman pada Sabtu itu dengan rakan-rakan dan keluarga anda sama ada dalam talian atau sebaliknya.

“Galakkanlah mereka juga untuk turut menyertai dialog ke seluruh negara yang penuh bermakna ini,” katanya.

Berikut adalah nukilan Perdana Menteri di blog itu:

“Sabtu yang Bermakna

Dengan pembukaan sesi baru Parlimen minggu ini, saya tidak sempat mengenang kembali majlis jamuan teh Sabtu yang lalu.

Dengan sedikit waktu yang saya ada ini, saya dan keluarga sukacita merakamkan penghargaan kami kepada semua yang dapat hadir, dengan sokongan dan minat yang mendalam terhadap gagasan 1Malaysia, ke majlis di kediaman saya di Seri Perdana pada hari itu.

Walaupun kita hadir dalam majlis tersebut tanpa sedikit pun mengenali satu antara lain, saya harap ramai antara anda yang pulang dengan tekad akan saling memasukkan nama masing-masing dalam senarai rakan-rakan dalam talian anda.

Banyak kisah pertama yang terlakar pada petang itu: secara rasmi saya dapat bertemu dengan rakan-rakan dalam talian saya buat kali pertama; dan sebagai tuan rumah untuk julung-julung kali pula kami meraikan anda dalam majlis seperti itu di Seri Perdana, saya harapkan akan ada lebih banyak majlis minum petang dan sesi dialog seperti ini dapat dilakukan lagi.

Seperti yang saya katakan, saya memang sangat ingin mengundang setiap rakan dalam talian saya ke majlis ini, tetapi untuk menjayakannya, kita perlu mengadakannya di ruang sebesar stadium!

Pada petang itu, beberapa rakan daripada kalangan anda berkesempatan mengemukakan soalan tentang perkara-perkara yang menjadi minat saya secara peribadi dan sebagai seorang Perdana Menteri.

Meskipun kesuntukan waktu, saya gembira dapat memberikan jawapan yang agak panjang lebar juga kepada soalan-soalan itu.

Bagi anda yang belum mendapat jawapan daripada saya, saya akan cuba sedaya upaya menjawabnya dalam blog saya kelak atau melalui jawapan video dalam sedikit masa lagi.

Sementara itu, saya harap anda semua dapat berkongsi pengalaman Sabtu itu dengan rakan-rakan dan keluarga sama ada dalam talian atau sebaliknya.

Galakkanlah mereka juga untuk turut menyertai dialog ke seluruh negara yang penuh bermakna ini.

Kepada ribuan lagi sahabat-sahabat saya di luar sana yang masih belum saya ketemui, saya harap dapat melakukannya lagi, sama ada dalam salah satu sesi majlis minum petang, atau semasa lawatan saya ke seluruh Malaysia.

Lebih banyak perkembangan akan diumumkan melalui laman web dan juga Facebook saya.

Saya amat berharap dan seronok dapat berinteraksi lagi dengan anda akan datang ini.” -MediaUMNO