KUALA LIPIS, 20 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memberi jaminan kerajaan tidak akan meminggirkan masyarakat luar bandar dalam Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Sebagai membuktikan komitmen itu, tegas Presiden UMNO, kerajaan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM750 juta kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi memastikan masyarakat luar bandar terus maju dan berdaya saing dalam sektor-sektor bernilai dan berpendapatan tinggi.
‘‘Kerajaan berharap peruntukan itu dapat membantu 543,000 penduduk miskin yang berdaftar melalui e-kasih termasuk di Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan pendapatan golongan tersebut.
‘‘Kerajaan akan meneruskan agenda transformasi luar bandar dengan mendidik masyarakat supaya mampu hidup berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan semata-mata,’’ katanya.
Beliau berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-50 Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Dataran Lipis di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal selain 5,000 penduduk Lipis.
Najib menjelaskan, melalui MEB, pendapatan penduduk luar bandar terutama golongan petani dapat dipertingkatkan lagi melalui pelbagai program pertanian seperti projek agropolitan dan perusahaan burung walid.
Selain projek pengeluaran hasil pertanian, kata beliau, penduduk luar bandar akan dibekalkan dengan pelbagai ilmu keusahawanan menerusi MEB.
“Kita harap melalui MEB, masyarakat luar bandar dapat mengecapi pendapatan lebih tinggi bagi melahirkan masyarakat yang seimbang,” katanya.
Malah kata beliau, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berjaya membangunkan kawasan luar bandar menjadi antara yang termaju di dunia.
Menurut beliau, walaupun Malaysia mencapai kejayaan besar dalam menyediakan infrastruktur luar bandar tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu 53 peratus penduduk luar bandar.
Kata Najib, masih terdapat beberapa negeri yang ketinggalan dari segi kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih terutama di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan anggota BN di Pejabat UMNO Kuala Lipis di sini, Perdana Menteri mahu semua pemimpin parti itu menggunakan strategi terkini termasuk melalui laman sosial facebook untuk mencari lebih ramai ‘kawan baru’ yang akan menyokong parti itu.
Beliau yang juga Pengerusi BN menegaskan, pendekatan sedemikian dianggap berkesan untuk mencari penyokong parti terutama yang berada di ‘atas pagar.’
‘‘Kita (BN) perlu mencari seramai mungkin ‘kawan baru’ yang berada ‘atas pagar’ supaya menyokong UMNO dan BN termasuk dengan menggunakan laman sosial facebook,” katanya.
Najib yang juga Presiden UMNO menegaskan, pendekatan beliau yang menggunakan facebook untuk mencari ‘kawan baru’ berjaya mengumpul seramai 120,000 kenalan di kalangan rakyat.
‘‘Bayangkan jika keluarganya termasuk isteri dan anak-anak mereka juga menyokong kita, berapa ramai penyokong-penyokong baru yang kita peroleh,” katanya.
Menurut beliau, gabungan kaedah lama dan baru akan meningkatkan lagi bilangan golongan ‘atas pagar’ yang menyokong BN. -MediaUMNO/MM