Kategori Sana Sini

Safkan Pemimpin Ampuh!

pau-2009-copyKUALA LUMPUR, 25 Mac – Hari ini akan berlangsungnya pemilihan parti peringkat pusat bagi tiga sayap penting UMNO iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang akan menyaksikan perubahan dari segi kepimpinan ekoran wujudnya pertandingan untuk jawatan tertinggi dalam ketiga-tiganya.

Apa yang perlu diingat bersandarkan kepada prinsip perjuangan atas nama UMNO sebagai sebuah parti yang mendukung martabat kebangsaan demi agama, bangsa dan negara, pemilihan yang berlaku dalam parti sewajarnya akan memperteguh perjuangan dan memperkukuh keazaman.

Memang secara zahirnya, apabila berlakunya pemilihan maka tentunya akan ada di kalangan ahli yang memberi sokongan secara terbuka kepada calon pilihan mereka hingga akhirnya akan mewujudkan kumpulan-kumpulan tertentu.

Memang telah menjadi lumrah bahawa setiap pertandingan pastinya akan ada yang menang dan tewas. Bagi pihak yang menang tentunya keazaman untuk merialisasikan perancangan bagi terus memperteguh UMNO tentunya akan terzahir.

Namun begitu, bagi yang tewas pula janganlah ada tersemat perasaan iri hati, teguris lantas kecewa dan melakukan tindakan yang bertentangan dengan semangat dalam UMNO sendiri.

Lantaran kerana tewas dalam pemilihan juga, sewajarnya pihak yang kalah tidak dibuang begitu sahaja atau dibiarkan langsung dengan kekecewaannya.

Tewas dalam pemilihan UMNO bukanlah bererti berakhirnya karier politik masa hadapan atau perlu diketepikan lantaran bertanding sesama mereka.

Sesungguhnya, terimalah dengan hati terbuka dan seikhlas mungkin lantas atas nama baik parti dan perjuangan yang masih panjang, permuafakatan wajar diambil bagi menggembling tenaga meneruskan kesinambungan bangsa.

Menyusur semula perjuangan antara tiga sayap yang menjadi tulang belakang perjuangan UMNO, sesungguhnya pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri banyak memberi semangat dan membangunkan UMNO serta bangsa Malaysia umumnya.

Mengambil kira penglibatan wanita dalam politik bermula bersama gerakan semangat kebangsaan untuk memerdekakan tanah air. Wanita yang sebelum ini lebih tertumpu pada pertubuhan berunsurkan kebajikan telah turut terlibat buat pertama kalinya secara terbuka dalam gerakan politik tanah air.

Dalam masa yang sama, kemerdekaan Tanah Melayu telah membuka lebih banyak peluang kepada wanita malahan dalam pilihan raya 1959, Ibu Zain dan Fatimah Hashim bertanding kerusi Parlimen dan menang. Sehingga sekarang, bilangan tokoh wanita yang bertanding dalam pilihan raya semakin bertambah.

Lantaran tidak membelakangi kepentingan golongan wanita dalam perjuangan dan pembangunan, pada Ogos 1971, UMNO yang mengadakan Persidangan Agung Khas bagi mengatur corak perjuangannya, Perlembagaan UMNO telah dipinda dan Pergerakan Kaum Ibu telah ditukar namanya kepada Pergerakan Wanita UMNO bagi melambangkan imej dinamik.

Sememangnya, Pergerakan Wanita UMNO bertindak sebagai penyokong kuat kepada UMNO dalam sebarang perjuangan bagi mendaulatkan bangsa dan memajukan Negara.

Bagi pergerakan Pemuda UMNO pula, ketika usaha untuk membebaskan tanah air dari penjajah Inggeris, jentera UMNO telah diperkuatkan dengan penubuhan sayap Pemuda pada 26 Ogos 1949 di Butterworth.

Persidangan tersebut telah mengambil keputusan menamakan badan tersebut ‘Perikatan Pemuda UMNO’ dan memilih Kapten Hussein Onn selaku Ketua Pemuda yang pertama. Pada bulan Ogos 1950 pucuk pimpinan Pemuda beralih kepada Tun Abdul Razak kerana perlantikan Kapten Hussein sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Dalam perjuangannya, pergerakan Pemuda menjadi pelapor kepada banyak kejayaan yang telah dicapai oleh UMNO dan ramai pemimpin Pemuda kemudiannya mengambil alih tugas-tugas penting dalam kerajaan.

Perjuangan UMNO pada masa itu ialah membebaskan Negara dari penjajah British dan Pemuda menjadi penggerak penting. Ketuanya, Sardon berjaya mengubahkan cogankata UMNO dari HIDUP MELAYU kepada MERDEKA bagi meniupkan bara kemerdekaan ke dalam diri setiap pemuda dan memilih 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan.

Sejajar dengan perkembangan semasa, UMNO juga telah mengambil kira berkaitan pentingnya penubuhan satu badan baru bagi meniupkan semangat kepada golongan muda.

Lantas, penubuhan Puteri UMNO dipersetujui secara prinsip oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 10 Julai 2000 bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai UMNO. Secara rasminya, Pergerakan Puteri UMNO ditpada 16 Oktober 2000.

Puteri UMNO sebagai barisan yang mampu bertindak secara profesional dalam parti di kalangan wanita muda dengan Datuk Azalina telah dilantik menjadi Ketua Penaja Puteri UMNO dan kemudiannya diganti oleh Datuk Noraini Ahmad.

Bersama beliau juga dilantik beberapa barisan Exco yang mampu mendukung cita-cita parti mengekalkan kedaulatan Melayu. Puteri UMNO terhad kepada wanita Bumiputera yang berusia 18 hingga 35 tahun.

Bersandarkan kepada perjuangan yang tercatat dalam UMNO, sesungguhnya perpaduan dan kebersamaan untuk terus mengekalkan kesinambungan parti turut didukung oleh pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.